PEMAIN penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut meledak hatrik pertamanya sejak menyertai Skuad Penyu untuk membantu TFC membenam cabaran pendahulu Liga MBSB Bank Championship, Kuala Lumpur Rovers 0-4 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia.
Dua gol pada babak pertama dan satu pada babak kedua serta satu jaringan dari Engku Shakir sudah cukup untuk memberikan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner bekalan selesa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Meskipun berhadapan hampir keseluruhan pemain amatur, namun Terengganu tetap dikerah sebelum meraih kemenangan dalam aksi berat sebelah yang menyaksikan penguasaan penuh pasukan Liga Super itu.
PIALA MALAYSIA 2023 (Pusingan 16-1)
FT: Kuala Lumpur Rovers 0-4 Terengganu FC
⚽ Ivan Mamut 18', 45'+2, 67' Engku Shakir 51'#PialaMalaysia2023#WeAreKLRovers#PetehGanuPeteh pic.twitter.com/x0egQQrSxo
— Flash Sukan (@FlashSukan) August 4, 2023
Mamut membuktikan bisanya pada minit ke-18 dan 45 untuk memberikan kelebihan awal buat Terengganu sebelum masuk ke bilik persalinan dan menambah satu lagi gol untuk melengkapkan hatriknya pada minit ke-67.
Penyerang muda meningkat naik, Engku Shakir menambah gol ketiga buat TFC dengan jaringan cantik selepas menerima hantaran Sony Norde dari sebelah kiri gawang untuk menggembirakan kira-kira 450 penyokong yang hadir.
Perbezaan jurang kualiti jelas dapat dilihat apabila Kuala Lumpur Rovers tidak mampu untuk melancarkan serangan berbahaya ke kubu Terengganu dan terpaksa menerima hakikat kekalahan pada perlawanan pertama ini.
Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Terengganu membawa pulang bekalan selesa ke Gong Badak untuk aksi timbal balik pada 19 Ogos nanti.