JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bersedia untuk meneruskan momentum kemenangan dalam usaha layak ke final Piala Malaysia apabila menerima kunjungan Perak FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Meskipun mempunyai kelebihan tiga gol dan dilihat selesa, pengendali JDT, Esteban Solari tidak mahu melihat itu sebagai kelebihan kerana dalam bola sepak tidak wujud keadaan selesa sebaliknya pemain perlu harungi baki 90 minit permainan yang penuh berliku dan mahu mengekalkan intensiti permainan yang tinggi.

“Kesemua pemain perlu terus fokus bagi mengharungi aksi ini dalam usaha meraih kejayaan dan menempah slot ke pentas final di hadapan penyokong sendiri. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kita biasanya akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan kerana ia adalah motivasi kita untuk perlawanan seterusnya.

“Dalam hal ini, fokus kami ketika ini adalah bagi mengharungi perlawanan separuh akhir ini dan berharap dapat memberikan aksi yang terbaik untuk layak ke final sambil terus kekal konsisten, bermotivasi dan bertenaga,” katanya.

Sementara itu pengendali Perak FC, Yusri Che Lah pula mahu anak-anak buahnya memberikan aksi terbaik dan cuba mencipta kejutan meskipun sedar bukan mudah untuk berhadapan JDT di laman mereka.

“Kami akan mencuba sebaik mungkin dan berikan penyokong sesuatu yang berharga meskipun akan turun tanpa beberapa tonggak seperti kapten pasukan, Luciano Guaycochea kerana digantung dan juga beberapa pemain mengalami kecederaan.

“Keadaan Wan Zack Haikal juga masih 50-50 tetapi saya mungkin memerlukan khidmatnya kerana pengalaman yang ada padanya diharap mampu menjelmakan semangat buat pemain untuk cuba memberikan kejutan,” jelasnya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh bulan lalu, Harimau Selatan menang 4-1 hasil jaringan Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor manakala satu gol Perak dijaringkan oleh Luciano Guaycochea.