PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menyatakan harapannya supaya pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC berjaya memintas Terengganu FC sekali gus melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2023.
Menurut Khalid, perlawanan akhir Piala Malaysia itu sangat penting bagi melunaskan misi balas dendam ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah tumpas 2-0 di aksi akhir Piala FA sebelum ini.
Beliau turut meluahkan bahawa pertembungan akhir itu juga dirasakan sebagai tidak adil buat pasukan KL City FC kerana bermain di gelanggang JDT dan sepatutnya ia dilaksanakan di stadium berkecuali.
“Walau apapun, kita nak masuk ke final Piala Malaysia ini bagi membuktikan kemampuan KL City kerana final sebelum ini dengan JDT sangatlah tidak adil.
“Kami sangat tidak gembira dengan pertarungan final Piala FA sebelum ini dan aduan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga telah dibuat berkenaan isu tersebut,” katanya ketika sidang media pada Khamis.
Namun, jelas beliau bahawa impian untuk ke pentas akhir itu semua bergantung kepada perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC (TFC) malam esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
The City Boys setakat ini masih mempunyai peluang untuk ke final meskipun agregat semasa 2-1 memihak kepada TFC sekali gus tewas dalam aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia pada 21 Oktober lalu.
Jelas bahawa tidak mustahil untuk skuad Warga Kota itu mengejar agregat Sang Penyu sejurus melayakkan pasukan ke pertarungan akhir Piala Malaysia nanti.
Kemungkinan juga sejarah lalu bakal tercipta semula jika KL City FC berjaya ke final, dimana ulangan tahun 2021 ketika mereka berjaya menewaskan Harimau Selatan dapat disaksikan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.
Berdasarkan jadual perlawanan yang telah ditetapkan, KL City FC bakal bertemu semula dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi penentuan ke aksi final Piala Malaysia 2023.