KUCHING City FC menganggap undian Piala Malaysia 2023 yang menemukan mereka dengan Sabah FC sekali lagi bukanlah undian yang mudah tetapi percaya mereka mampu untuk mencipta kejutan.
Proses undian Piala Malaysia 2023 telah diadakan pada Khamis dengan kedua-dua pasukan Borneo ini akan berentap dalam Derbi Borneo yang juga ulangan peringkat suku akhir Piala Malaysia musim lalu yang dimenangi Skuad Badak.
Penolong Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin sedar ianya adalah cabaran yang sukar tetapi mahu anak-anak buahnya menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri pada pusingan pertama untuk mengejutkan Sabah yang ternyata unggul di laman sendiri.
“Undian menentang Sabah adalah ulangan suku akhir tahun lepas dan pastinya bukan mudah bertemu pasukan yang kuat seperti mereka. Kita akan gunakan peluang ini untuk beri yang terbaik kerana saya pasti peluang tetap ada.
“Kami perlu gunakan kesempatan beraksi di Kuching sebaik mungkin kerana pastinya sukar apabila bermain di Likas dikelilingi oleh penyokong fanatik Sabah dan saya juga berharap agar pemain-pemain baharu dapat menyesuaikan diri segera untuk membantu pasukan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam perkembangan lain, Kuching City FC baru sahaja menandatangani dua pemain import baharu untuk memperbaiki pasukan bagi memberi saingan dan memperbaiki kedudukan dalam liga di pusingan kedua Liga Super.
Mereka menandatangani Dechi Marcel dari Ivory Coast yang akan bermain di posisi tengah manakala Pedro Henrique dari Timor Leste pula akan bermain sebagai penyerang.
Kedua-dua pemain ini sudah tidak asing dalam Liga Malaysia apabila Dechi pernah bermain untuk Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC manakala Pedro pula adalah bekas penyerang PJ City FC dan Sri Pahang FC sebelum ini.
Mereka akan didaftarkan pada jendela perpindahan kedua dan boleh beraksi dalam perlawanan Piala Malaysia yang dijadualkan pada Ogos dan Sulaiman mahu pengalaman yang ada pada mereka digunakan untuk membantu pasukan keluar dari zon bawahan liga ketika ini.
“Dengan pengalaman yang mereka miliki pasti dapat membantu tetapi kami tidak mahu beri tekanan pada mereka dan hanya perlu beri yg terbaik dan mengangkat kedudukan pasukan ke posisi yang lebih baik dalam Liga Super,” jelasnya.
Kuching City mempunyai tempoh rehat yang panjang untuk menyediakan pasukan menjelang aksi bertemu Sabah FC namun kini fokus mereka tertumpu kepada perlawanan Liga Super seterusnya menentang Selangor FC di Kelana Jaya selepas berakhir aksi antarabangsa Harimau Malaya.