JUARA bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah diundi bertemu Kelantan FC dalam undian Piala Malaysia 2023 yang dilangsungkan oleh Malaysia Football League (MFL) pada Khamis.

Kempen Piala Malaysia 2023 akan bermula pada Ogos 2023 dan berakhir pada Disember 2023 dengan JDT dilihat berdepan laluan mudah pada peringkat 16 terbaik untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2022.

Naib juara musim lalu, Selangor FC pula diundi bertemu pasukan ‘giant killer’ musim ini, PDRM FC dengan rekod di Liga Super memihak kepada skuad Sang Saka Biru dan pastinya menjanjikan satu aksi yang menarik.

 

Pemenang antara JDT dan Kelantan FC akan bertemu sama ada Negeri Sembilan FC atau Kelantan United FC dengan skuad K.Devan perlu berhati-hati berhadapan skuad Kijang Hijau yang kini diterajui pengendali baharu.

Terengganu FC dan Sri Pahang FC dilihat mempunyai kelebihan untuk layak ke peringkat suku akhir apabila masing-masing diundi bertemu pasukan dari Liga M3 namun kejutan sering berlaku dalam pertandingan piala.

Dua derbi bakal mewarnai Piala Malaysia musim ini apabila Perak FC diundi bertemu Kedah Darul Aman FC dalam Derbi Utara manakala Kuching City FC dan Sabah FC berentap dalam Derbi Borneo yang pastinya menarik.

Saingan Piala Malaysia musim 2023 mengalami sedikit perubahan dari segi penjadualan apabila akan dilangsungkan serentak dengan pertandingan Liga Super dan perlawanan akhir Piala Malaysia tidak lagi menjadi perlawanan terakhir Liga Malaysia.

Namun pertandingan paling tua dalam negara ini sudah pasti menjanjikan satu saingan yang menarik dengan kesemua pasukan sudah pasti mahu membuktikan kemampuan masing-masing dan merebut piala berprestij ini.