PEMAIN pertahanan Perak FC, Sunday Afolabi menuntut rakan sepasukan melupakan kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Ipoh, Khamis lepas.

Sebaliknya pemain berusia 24 tahun kelahiran Enugu, Nigeria itu optimis masih berbaki 90 minit lagi untuk terus berjuang memburu tiket aksi akhir saingan piala paling berprestij dalam negara.

Terdahulu pada aksi separuh pertama, impian skuad The Bos Gaurus untuk sekurang-kurangnya mempertahankan kubunya daripada dibolosi berkecai selepas tumpas 1-4 kepada skuad JDT hasil jaringan Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor.

“Masih ada 90 minit lagi kami terus berjuang sehingga kami berjaya. Terima kasih buat rakan sepasukan saya kerana memberikan sebuah perjuangan sehingga perlawanan berakhir.

“Terima kasih atas semua sokongan peminat Perak apa yang kami lakukan walaupun pertandingan ini diadakan pada hari bekerja.

“Anda masih tampil untuk memberi kami sokongan penuh jurulatih dan semua staf kami menghargai anda semua,” kata Sunday.

Perak selepas ini akan turun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 2 November depan.