SENTUHAN ‘ajaib’ Esteban Solari terus menjadi buat Johor Darul Ta’zim apabila pasukannya berjaya menewaskan Perak FC 4-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, di sini pada Khamis.

Kemenangan selesa itu setidak-tidaknya memberi tonik tambahan buat Harimau Selatan berhadapan lawan sukar di pentas Asia minggu depan sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi turun dalam perlawanan timbal balik di Iskandar Puteri 2 November depan.

Beraksi atas padang berat dan licin Perak cuba menekan awal pelawat dengan memulakan aksi dengan bertenaga menerusi rangkaian Wan Zack Haikal Wan Noor dan Luka Milunovic.

Namun gawang skuad The Bos Gaurus roboh seawal minit ketujuh menerusi tandukan Oscar Arribas menewaskan Farhan Abdul Majid.

Pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanapi menambah tekanan tuan rumah menerusi tolakan cantik empat minit berselang untuk menamatkan aksi babak pertama dengan kedudukan 2-0.

Aksi rancak terus disajikan kedua-dua pasukan namun JDT berjaya menambah gol ketiga di minit 70 menerusi tandukan pemain gantian yang juga bekas pemain pertahanan Perak, Shahrul Saad.

Ketangkasan Ahmad Syihan Hazmi acap kali menafikan beberapa peluang keemasan wajib gol Perak sekali gus mengecewakan puluhan ribu peminat Seladang yang hadir membanjiri stadium.

Gol pertama Perak akhirnya menjelma apabila Luciano Guaycochea melepaskan rembatan hasil assist Wan Zack Haikal m-76.

Namun sisa kebangkitan perjuangan skuad Kejor Yob Kejor dibunuh oleh seorang lagi pemain gantian lawan, Nazmi Faiz Mansor untuk menutup kemenangan bergaya 4-1 di Ipoh.

JDT selepas ini akan terbang ke Korea Selatan bagi menghadapi aksi ketiga Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia bertemu Ulsan Hyundai pada Selasa manakala Perak melayan kunjungan Kelantan FC bagi baki kempen Liga Super, 28 Oktober ini.