WALAUPUN sedar hakikat perjuangan Piala Malaysia masih lagi penuh ranjau, Yusri Che Lah tetap meraikan kejayaan Perak FC bersama penyokong di stadium selepas perlawanan.

Langsung tidak disandarkan harapan untuk pergi lebih jauh kejohanan musim ini, pemain The Bos Gaurus berjaya mengejutkan lawan besar seperti Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC untuk ke separuh akhir.

“Malam ini pemain saya berhak untuk celebrate, untuk meraikan kejayaan walaupun menanti kita di separuh akhir adalah satu pasukan yang amat kuat.

“Tapi biarlah kita meraikan dulu kejayaan pasukan ke separuh akhir. Sekali lagi saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya, dah empat bulan setengah bersama.

“Pemain merealisasikan impian pihak pengurusan, dan ia bukannya daripada saya. Pemain telah bagi lebih 100 peratus sepanjang permainan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Perak, Ipoh pada Isnin.

Pengendali berusia 47 tahun itu lega apabila barisan pemainnya mula ditekan Sabah khusus pada babak kedua namun berjaya mengekalkan kedudukan agregat sehingga tamat permainan.

Dia juga resah selepas beberapa pemain tonggak berdepan masalah kecederaan dan terpaksa dikeluarkan awal ekoran faktor padang yang basah dan anak didiknha perlu bekerja lebih kuat.

“Tapi, kecederaan yang berlaku ini sebenarnya menambah semangat pemain yang baru di bawa masuk seperti Fadhil Idris, Hakimi Mat Isa, Nik Umar Nik Aziz dan Farris Izdiham. Semuanya adalah pemain muda dan saya harapkan berterusan saki-baki permainan yang ada,” ujarnya.

Menyentuh aksi getir bertemu Johor Darul Ta’zim pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia bulan depan, Yusri akui kedua-dua pasukan bagaikan langit dan bumi.

“Kita kena 10 gol di home dan away dalam liga. Kita bukan nak menyerah kalah awal. Ada lagi 180 minit. Kita akan terus mencuba kerana takdir Allah tiada siapa yang tahu.

“Kami tahu jurang kita yang terlalu jauh, peluang yang ada kita patut gunakan. Saya rasa pemain kita akan mencuba kerana JDT pasukan yang kuat. Realitinya, kita tahu kita punya level.

“Apapun biarlah saya berseronok dahulu malam ini untuk kemenangan pasukan,” seloroh anak kelahiran Perlis itu.