TERENGGANU FC (TFC) terpaksa melupakan ‘arkitek’ tengah, Nurillo Tukhtasivov bagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam esok, akibat penggantungan perlawanan.
Menurut pengendalinya, Tomislav Steinbrucner, situasi itu jelas menjejaskan persiapan TFC dalam misi mempertahankan kelebihan 2-1 yang dimiliki, 21 Oktober lalu.
Jurulatih kelahiran Croatia itu bagaimanapun berkata, beliau memiliki alternatif mengisi kekosongan membantu ketua pasukan, Habib Haroon di bahagian tengah.
“Sudah tentu ketiadaan Tukhtasinov sangat dirasai kerana dia pemain penting kami namun Liridon Krasniqi dan Omid Naziri beraksi baik ketika seri dengan Sri Pahang tempoh hari.
“Masih ada beberapa sesi latihan sebelum saya menentukan kesebelasan utama dan diharap pemain diturunkan dapat memberi persembahan terbaik untuk melangkah ke final.
“Ini mungkin perlawanan terbesar TFC musim ini dan kelebihan laman sendiri harus dimanfaatkan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada sesi latihan, semalam.
Tambah Steinbruckner lagi, beliau turut mengakui tiada pasukan pilihan dan peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan mara ke pentas akhir bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Perak
Malah skuad Sang Penyu turut dipersiapkan menghadapi sebarang kemungkinan perlawanan malam esok berlanjutan ke masa tambahan atau sepakan penalti bagi menentukan pemenang.
“Kami sudah bertemu Kl City FC empat kali musim ini dan mereka adalah pasukan yang baik dengan kualiti jentera serangan mereka diketuai Paulo Josue, Romel Morales dan Kipre Tchetche.
“Mereka sangat berkualiti dalam situasi bola mati jadi TFC harus berwaspada selain tidak melakukan kesilapan mudah jika tidak mahu berputih mata,” tambahnya.
Pada separuh akhir pertama di Cheras, 21 Oktober lalu, TFC menang tipis 2-1 hasil jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim manakala Tchetche muncul penjaring gol KL City.