PERAK FC cemas seketika sebelum melakar kebangkitan luar biasa menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis.

Namun begitu, cerita di babak pertama sedikit berbeza kerana belum sempat tuan rumah menyusun rentak, gawang mereka bocor awal hanya kira-kira 32 saat permainan dimulakan. Ia berpunca daripada sepakan sudut Fayadh Zulkifli Amin yang ditanduk kemas oleh Manuel Ott.

Perak kemudian bingkas bangkit untuk segera memadamkan kedudukan dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu pelawat dan mengamalkan corak permainan yang menghiburkan.

Pada m-10 sepakan percuma diambil kapten Luciao Guaycochea berjaya ditepis Kalamullah Al-Hafiz manakala tendangan penyerang daripada Korea Selatan, Seo Seunong empat minit berselang mudah ke arah Kalamullah.

Peluang keemasan hadir lagi buat The Bos Gaurus pada m-24 tetapi sepakan luar kotak Guaycochea hanya menggegar palang.

Bersambung babak kedua, Kedah membuat pertukaran memasukkan J Partiban dan Fadzrul Daniel Nizam dalam usaha untuk menambahkan lagi sengat di bahagian jentera tengah.

Perak dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan dan Guaycochea yang diamanahkan sebagai penendang tidak mensiakan peluang untuk meledak jaring KDA FC m-48 dan membuatkan pemain Nafuzi Zain mula tertekan.

Selepas itu, kebangkitan Perak bagaikan sukar dibendung apabila larian Luka Milunovic m-52 hampir menghasilkan sesuatu sebelum dia menebus kembali kegagalan untuk meledak gol kedua Perak berselang dua minit yang disambut sorakan gemuruh penyokong.

Malang menimpa Kedah beraksi kurang seorang pemain apabila Rodney Celvin diperintah keluar padang akibat menerima kad merah kerana menyepak muka Seo Seunong.

Perak mula mengendurkan asakan apabila membuat dua pertukaran mengeluarkan Seo Seonung dan Wan Zack Haikal serta memasukkan Farris Izdiham dan Azalinullah Alias.

Pun begitu, Perak belum puas dengan skor yang dimiliki apabila pemain gantian, Hakimi Mat Isa menyumbat gol ketiga pasukan pada baki 10 minit terakhir dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan

Kedua-dua pasukan akan bertembung semula dalam aksi timbal balik yang dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos depan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.