POLIS Terengganu akan memperketatkan kawalan keselamatan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan KL City FC, malam esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, 400 anggota akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu.

Menurut beliau, penyokong kedua-dua pasukan diingatkan tidak menimbulkan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan termasuk mencetuskan pergaduhan atau provokasi.

Tegasnya, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menganggu ketenteraman dan keselamatan penyokong lain.

“Pemeriksaan juga akan dibuat di setiap pintu masuk bagi mengelak barang seperti mercun, suar, topi keledar, pemetik api, objek atau senjata tajam, payung serta dron dibawa masuk ke dalam stadium.

“Selain itu turut polis trafik turut ditempatkan mengawal kelancaran aliran lalu lintas di kawasan stadium sehingga perlawanan tamat,” katanya menerusi kenyataan di sini, lewat malam tadi.

Dijangka lebih 30,000 penonton akan membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok setelah 10,000 keping tiket yang dijual secara atas talian sejak dua hari lalu habis terjual.

Manakala 20,000 keping tiket lagi yang berharga RM20 (dewasa) dan RM10 untuk kanak-kanak itu akan mula dijual secara fizikal di kaunter stadium bermula hari ini sehingga esok.

Pada aksi separuh akhir pertama di Cheras, 21 Oktober lalu, TFC mengalahkan KL City 2-1 hasil jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim sekaligus menjadi pasukan pilihan ke final.