SKUAD Kuala Lumpur Rovers mahu menggunakan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam Liga MBSB Bank Championship 2023 sebagai pembakar semangat untuk memberi prestasi terbaik di pentas Piala Malaysia yang bermula pada Khamis.

Skuad kendalian Wan Mustafa Wan Ismail itu bakal bertemu wakil negara ke Piala AFC, Terengganu FC dalam peringkat 16 saingan Piala Malaysia dengan Kuala Lumpur Rovers akan menjadi tuan rumah dalam aksi pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras.

“Rekod liga MBSB Championship 14 perlawanan tanpa kalah bakal kami jadikan pembakar semangat untuk memberi prestasi terbaik bila berhadapan gergasi Liga Super.

“Bermain di gelanggang sendiri tidak memberi sebarang kelebihan sekiranya pasukan ditenggelami oleh perasaan terlalu menghormati dan gerun dengan pasukan Liga Super,” katanya Wan Mustafa ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Bekas pengendali UiTM FC itu juga mahu memastikan skuadnya tidak menjadi pasukan belasahan sebaliknya mahu menggunakan status kelab amatur sebagai tekanan buat pihak lawan dan bukan diri mereka sendiri.

“Kami akan pastikan tidak menjadi pasukan belasahan dan pastinya akan bermain habis-habisan untuk membuat kejutan. Ketiadaan pemain import hanya akan lebih menjadi tekanan kepada pihak lawan yang pasti dianggap akan mendapat laluan mudah,” tambahnya.

Pengendali KL Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail

Dia juga menjemput semua penyokong ke stadium untuk memberikan sokongan kepada anak-anak buahnya yang mahu mencipta kejutan dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

“Kami mahu menjemput penyokong Kuala Lumpur untuk hadir menjadi pemain ke-12 untuk memberi sokongan kepada pemain-pemain remaja ‘part timers’ ini merealisasikan impian mereka untuk beraksi cemerlang menentang pasukan Terengganu.”

Selain Kuala Lumpur Rovers, Harini Selangor FT adalah satu lagi pasukan dari Liga MBSB Bank Championship yang layak ke saingan Piala Malaysia 2023 dan mereka akan cuba mencipta kejutan dan mara lebih jauh dalam debut mereka.