SABAH FC tidak resah meskipun tanpa empat tonggak dan tidak memandang rendah keupayaan Kuching City FC menjelang pertemuan pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata meskipun tanpa empat tonggak, dia sudah mengenalpasti pengganti di posisi itu dan menjangkakan saingan sengit dari lawan yang kini mempunyai jurulatih baharu, Aidil Sharin Sahak.

Katanya persaingan tentu berbeza dengan kehadiran jurulatih baharu sekaligus memerlukan Sabah FC lebih bersiap sedia dalam pertembungan ‘Borneo Derby’ ini nanti.

“Ini perlawanan pertama di tempat lawan dan merupakan kali ketiga Sabah quick menentang Kuching City FC. Seperti kebiasaannya, pertembungan Derbi Borneo ini memang banyak persaingan di antara kedua-dua kelab.

“Saya jangkakan juga perlawanan ini nanti cukup sengit terutama dengan kehadiran jurulatih baru mereka. Sudah pasti mereka mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan kita tidak mendapat mata penuh apabila bermain di sana nanti,” katanya.

Mengulas ketiadaan Saddil Ramdani, Miguel Cifuentes, Park Tae-su serta Darren Lok yang mungkin akan mengganggu sedikit persiapan, Kim Swee berkata pihaknya masih mempunyai masa yang cukup untuk menentukan pengganti ketiga-tiga pemain tersebut.

“Mereka mengalami kecederaan hampir dua minggu selepas perlawanan dengan Kuching City di sini tempoh hari. Darren dan Park pula masih cedera selepas perlawanan menentang Penang FC, namun sudah tentu kita ada pemain lain bersiap sedia untuk menggalas tugas dengan sempurna nanti,” jelasnya.

Dalam aksi Liga Super sebelum ini, Sabah FC berjaya menang tipis dalam kedua-dua perlawanan ketika Kuching City dibawah kendalian Irfan Bakti.