TERENGGANU FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Malaysia apabila melangkah bergaya ke peringkat separuh akhir selepas mengenepikan Selangor FC 3-1 menerusi aggregat di suku akhir.

Selepas memenangi aksi pertama di Gong Badak 2-0, skuad Peteh sekali lagi menghampakan barisan pemain Tan Cheng Hoe kali ini dengan kemenangan 1-1 dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Selangor yang ketinggalan dua gol mahu mencari gol awal dengan menguasai babak awal perlawanan namun barisan Tomislav Steinbruckner kental bertahan hingga menyukarkan barisan serangan The Red Giants melakukan percubaan bahaya.

Menerusi satu serangan balas pantas, Terengganu berjaya mendapat sepakan penalti selepas bekas pemain Selangor, Nor Hakim Hassan dijatuhkan dalam kotak penalti untuk Ivan Mamut mudah menewaskan Sam Somerville untuk menambah kelebihan aggregat.

Gol itu nyata menyentap semangat para pemain Selangor dan Tan Cheng Hoe terpaksa membuat beberapa pertukaran untuk menambah sengat serangan pada babak kedua untuk mengurangkan defisit.

Hasilnya Selangor berjaya mendapat gol yang dicari-cari apabila Safuwan Baharudin melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Faisal Halim pada minit ke-69 sekaligus menggembirakan 10,743 penyokong yang hadir ke stadium.

Keadaan perlawanan menjadi panas apabila beberapa provokasi dan terjahan keras mula terjadi namun pengadil berjaya mengawal perlawanan meskipun mendapat cemuhan daripada para penyokong tuan rumah.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dengan Terengganu berjaya ke separuh akhir dengan aggregat 3-1 dan akan bertemu Kuala Lumpur City FC yang dijadualkan pada Oktober manakala Selangor tersingkir dan gagal mengulangi pencapaian layak ke final seperti musim lalu.