TERENGGANU FC membawa pulang kelebihan tipis ke Kuala Terengganu selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol hasil jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy pada penghujung babak pertama dan kedua sudah cukup untuk Terengganu mencipta kemenangan menjelang aksi pusingan kedua pada 3 November di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Percaturan dua pengendali Croatia itu cukup efektif dengan Terengganu cuba mencari jaringan namun Kuala Lumpur City kental bertahan yang menjadikan perlawanan sedikit perlahan terutama pada separuh masa pertama.

Penyokong Terengganu yang membentuk majoriti dari 4,210 kehadiran di stadium akhirnya bergembira apabila Ivan Mamut berjaya menewaskan Kevin Ray Mendoza sekaligus meletakkan Skuad Penyu di hadapan sebelum berakhir 45 minit pertama.

Babak kedua pula menyaksikan Kuala Lumpur cuba mengasak pada permulaan namun Terengganu segera mengimbangi perlawanan dan memiliki beberapa peluang keemasan namun dipersiakan barisan serangan.

Beberapa pertukaran dibuat Nenad Bacina untuk mencari gol penyamaan buat KL City namun masih gagal melepasi benteng Terengganu yang dibarisi empat pemain muda yang bertahan dengan penuh berdisiplin.

Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner juga harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyudahkan peluang demi peluang terhidang yang mungkin boleh menjamin tempat mereka di perlawanan akhir selain dinafikan ketangkasan Kevin Ray Mendoza.

Ketika perlawanan memasuki minit-minit terakhir, Terengganu menambah gol kedua menerusi Nik Sharif Haseefy sekaligus memberikan kedudukan yang selesa menjelang aksi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu.

Namun KL City tiba-tiba diberikan nyawa apabila Tchetche Kipre berjaya merapatkan jurang dengan gol menerusi sepakan penalties pada masa kecederaan babak kedua untuk keputusan berakhir dengan keputusan 1-2.