PERTANDINGAN Piala Malaysia musim ini boleh dianggap sebagai buku baharu untuk Perak FC terutamanya dalam melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC di Ipoh pada Khamis.

Apa tidaknya, berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sepanjang 2023, Perak gagal melakar sebarang kemenangan selepas dua perlawanan Liga Super dengan perlawanan berakhir The Bos Gaurus berputih mata.

Namun begitu, beraksi di tempat sendiri, Perak diketuai Luciano Guaycochea pastinya bermotivasi tinggi mahu melakar kemenangan untuk membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Alor Setar aksi timbal balas, 18 Ogos depan.

Namun, cabaran yang dibawa Perak bukan mudah. Anak-anak buah Yusri Che Lah perlu bingkas bangkit mempamerkan aksi cemerlang dalam mengekang asakan lawan yang dibarisi sejumlah pemain berkaliber dalam pasukan.

Ramai pemerhati meramalkan perlawanan kedua-dua pasukan ini dijangka berlangsung penuh sengit dan mendebarkan sepanjang 90 minit serta berharap insiden kad merah menimpa Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Afolabi tidak kembali berulang yang boleh merugikan kelab.

 

Seperti kata penolong ketua jurulatih Perak, V Saravanan, dia tetap optimis mereka boleh memperbaiki semula tahap permainan dan mencipta sesuatu lebih-lebih lagi ketika hanya tewas tipis kepada Sri Pahang.

“Kita berdepan pertandingan baru, azam yang baru, mungkin itu peluang kita untuk ‘membunuh’ semua yang apa yang kita kalah. Kita ada nafas baru untuk perlawanan yang akan datang,” ujarnya.

Untuk rekod, kali terakhir Perak merangkul Piala Malaysia adalah pada tahun 2018, selepas berjaya menewaskan Terengganu pada perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Shah Alam.

May be an image of 9 people, people playing American football, people playing football and text

Manakala, kem Kedah pula dilihat tidak berhadapan dengan masalah besar bertemu tuan rumah yang masih belum memperlihatkan sebarang keyakinan selepas terbaru tewas 1-0 di tangan Pahang

Walaupun beraksi di tempat lawan, anak-anak buah Nafuzi Zain dilihat terlalu kuat untuk Sang Seladang terutamanya selepas mendapat tonik baharu dengan kemasukan J. Partiban dan Halim Saari untuk menambahkan pilihan posisi di bahagian tengah.

Begitupun, KDA FC tidak boleh alpa pada ketika ini kerana pasukan Perak turut dilihat mengambil kesempatan daripada jendela perpindahan kedua untuk menambah kekuatan.