THE Bos Gaurus meraih slot terakhir ke separuh akhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC 1-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh pada Isnin.

Kemenangan itu menyaksikan juara Piala Malaysia sebanyak lapan kali mara ke pusingan empat terakhir dengan agregat 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada suku akhir pertama di Likas.

Wan Zack Haikal Wan Noor menjadi wira skuad apabila menjaringkan gol tunggal di penghujung babak pertama untuk mengesahkan bertemu Johor Darul Ta’zim pada peringkat separuh akhir.

Sepanjang babak pertama memperlihatkan kesungguhan tuan rumah memburu gol awal termasuk larian lincah daripada Aiman Khairul Yusni dan Azalinullah Alias yang menghantar bola ke hadapan bagi menguji gawanh lawan.

Bagaimanapun, Sabah terlebih dahulu menguji T Shaheeswaran hasil gerakan menarik Ramon Machado tetapi sepakannya tersasar jaring luar sebelah kanan pada awal 15 minit.

Percubaan dari luar kotak penalti oleh Luka Milunovic m-32 berjaya ditepis Damien Lim manakala sepakan percuma m-36 menerusi kapten pasukan, Luciao Guaycochea pula ditumbuk keluar penjaga gol.

Perak nyaris membuka akaun pertama tetapi rembatan jarak dekat Seo Seunong sekadar menggegarkan palang seminit kemudian.

Bersambung babak kedua, penonton disajikan aksi menghiburkan dengan berbalas serangan terutamanya The Rhinos namun segalanya seakan serba tidak menjadi buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Peluang terbaik Ramon Machado mengikat agregat tetapi palang menjadi penghalang m-73 untuk menyelamatkan seketika keresahan lebih 14,000 penyokong Yob yang hadir.

Seterusnya, kedudukan kekal tidak berganjak sehinggalah tiupan wisel panjang daripada pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.