PENGENDALI skuad Kuala Lumpur Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail mengakui skuad kendaliannya tidak berdepan sebarang tekanan untuk bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan diundi bertemu pada peringat Pusingan 16, Piala Malaysia 2024-2025.

Skuad Liga A1 Semi Pro itu tahu segala kelebihan berpihak kepada JDT tetapi mereka menganggap perlawanan ini sebagai medan terbaik buat para pemain menimba pengalaman dan akan menjadi pendedahan terbaik buat pemain apabila berhadapan gergasi bola sepak Malaysia.

“Tiada tekanan buat kami kerana di atas kertas, memang JDT mempunyai banyak kelebihan tetapi kami cuba bagi saingan di atas padang seperti mana yang kami lakukan ketika bertemu Terengganu FC musim lalu.

Wan Mustaffa gembira dengan komitmen yang diberikan para pemain KL Rovers

“Ini satu peluang yang baik buat semua pemain untuk bertemu pasukan paling kuat dalam Liga Super. Ia juga akan beri satu pendedahan dan pengalaman yang baik untuk para pemain.

“Memang berbeza kualiti permainan di Liga Super dan Liga A1, namun pasti ada taktikal yang boleh kita gunakan untuk mengadaptasi dengan formasi, taktikal dan juga kecergasan pasukan JDT,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Wan Mustaffa turut memuji komitmen para pemainnya yang berjaya layak ke Piala Malaysia meskipun berdepan pelbagai masalah dalam kelab dan mahu pemain menggunakan peluang ini untuk membuktikan kemampuan mereka.

KL Rovers mahu belajar sesuatu dalam aksi Pusingan 16 bertemu Johor Darul Ta’zim 

“Beraksi dalam Piala Malaysia selepas layak selaku pasukan tempat kedua dalam Liga A1, semua pihak dalam kelab ini berhak diberi pujian. Dengan situasi pasukan yang semua sedia maklum, ini boleh dianggap kejayaan bersama kami sebagai satu pasukan,” jelasnya.