RIAK wajah kecewa jelas dapat dilihat pada wajah pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe selepas pasukannya tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam Perlawanan Kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Sabtu.
Namun begitu dia turut lega kerana kekalahan itu tidak menjejaskan langkah Selangor FC ke suku akhir selepas menang dengan aggregat 5-3 selepas daripada kemenangan selesa 4-1 pada perlawanan pertama.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu juga mahu -pemain-pemainnya mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini dan perlu sedar bahawa mereka dituntut untuk sentiasa bersedia apabila berhadapan dengan mana-mana pasukan.
“Saya rasa ianya satu perlawanan yang cukup mengecewakan buat pasukan dan setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan ini tetapi apa yang penting kita layak ke peringkat seterusnya.
“Untuk perlawanan ini, saya harap pemain-pemain sedar apabila bertemu mana-mana pasukan, kita perlu bersedia dari segi fizikal dan mental. Perlawanan ini menyaksikan PDRM mempunyai kelebihan fizikal berbanding kami.
“Pada separuh masa pertama, dari segi fokus, penguasaan bola dan komunikasi antara satu sama lain kurang baik meskipun kita dapat gol pertama dan kita gagal kawal tempo permainan yang menyebabkan kita dibolosi dan pada minit terakhir kita sekali lagi leka dan lawan menjaringkan gol.
“Pemain perlu tahu bahawa setiap perlawanan adalah penting untuk kami dan akan lakukan terbaik untuk perlawanan selepas ini menentang Kelantan FC,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Selangor bakal bertemu Terengganu FC pada aksi suku akhir dan Cheng Hoe masih belum menentukan corak permainan yang bakal digunakan tetapi dia sedar akan kebangkitan yang dilakukan Terengganu ketika ini dan mahu lebih bersedia.
“Masih terlalu awal untuk kita corak permainan lawan Terengganu di suku akhir. Walaupun Selangor ada rekod yang baik dengan Terengganu namun mereka kini semakin baik dan bangkit dengan jaringan yang banyak dan kami perlu bersedia untuk bertemu mereka,” tambahnya.