JARINGAN hatrik dari Heberty Fernandes memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 dengan menewaskan Kuala Lumpur Rovers 0-3.
KL Rovers yang menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang tuan rumah bagaimanapun mempamerkan aksi yang penuh disiplin dengan menafikan kemenangan lebih besar buat juara bertahan itu.
Harimau Selatan memulakan perlawanan dengan empat pemain muda dilihat berjaya menguasai sepenuhnya aksi dengan sesekali KL Rovers mengancam gawang JDT yang dikawal penjaga gol muda, Christian Abad Amat.
Meskipun menguasai permainan, JDT terpaksa menunggu sehingga minit ke-26 sebelum sepakan percuma Heberty berjaya memecah kebuntuan untuk gol pendahuluan.
Berselang empat minit, penyerang Brazil itu menggandakan jaringan buat dirinya dan JDT dengan gol acrobatik sekaligus dilihat melengkapkan penguasaan penuh anak-anak buah Hector Bidoglio pada separuh masa pertama.
Pemain-pemain muda yang diberikan peluang – Alif Mutalib, Aysar Hadi dan Daryl Sham bermain baik mengawal serangan JDT dengan Alif Mutalib dilihat mencuri tumpuan dengan debut yang cukup cemerlang.
Heberty memastikan kemenangan mutlak menjadi milik JDT dengan gol ketiga pada minit ke-71 apabila merembat dari luar petak penalti yang menuju tepat ke gawang Rovers untuk hatrik pertamanya di Piala Malaysia musim ini.
Jese Rodriguez dan Jorge Obregon dibawa masuk untuk menambah sengat serangan JDT namun kedua-duanya dinafikan tiang gol dan ketangkasan penjaga gol untuk menambah jaringan.
Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT membawa kelebihan selesa ke perlawanan kedua yang bakal berlangsung pada 30 November di gelanggang yang sama.