SABAH FC sama sekali tidak akan memandang rendah keupayaan status kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC apabila kedua-kedua pasukan diundi untuk bertemu pada saingan Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee menegaskan kelab ini mungkin boleh mengatasi barisannya sekiranya para pemain gagal memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan yang akan dijalankan secara timbal balik itu.
Meskipun undian nampak nasib berpihak kepada Sabah FC, namun dalam kejohanan kalah mati seperti saingan Piala Malaysia ini, semua pasukan yang bertanding akan memberikan cabaran dan mungkin akan berlaku beberapa keputusan luar jangkaan.
“Kita harus waspada dengan apa jua yang akan berlaku dalam perlawanan itu nanti termasuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada beberapa pemain dalam pasukan PT Athletic FC yang mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia.
“Lebih menarik, apabila kita akan bertembung semula degan bekas pemain Sabah FC iaitu Amri Yahyah yang kini beraksi untuk pasukan lawan,” katanya.
Kim Swee turut tidak mahu terburu-buru mencongak perlawanan seterusnya kerana dia hanya mahu kekal fokus kepada aksi bertemu PT Athletic terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan pada peringkat suku akhir.
“Kita tak boleh memikirkan jalan mudah apa yang penting Sabah FC perlu menang ke atas PT Athletic dan harus layak ke peringkat seterusnya dan tidak ingin memikirkan siapa lawan seterusnya.
“Selepas itu, baru kita memikirkan langkah seterusnya. Kalau kita lihat senarai pemain PT Athletic mereka dibarisi oleh pemain cukup berpengalaman,” jelasnya.
Berakhir majlis undian, rata-rata penyokong Sabah sudah membayangkan skuad Rhinos layak ke final berdasarkan laluan undian dan prestasi semasa Sabah yang cemerlang namun Kim Swee tetap berjaga-jaga dalam semua keadaan.