EMPAT pasukan termasuk Kuala Lumpur (KL) City FC mungkin bakal menyerikan aksi Piala Menteri Wilayah sebagai kejohanan pramusim 2024/25 dengan penuh semangat.
Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Stanley Bernard menyatakan bahawa pihaknya masih berusaha keras dalam memastikan jumlah dua pasukan seperti kebiasaan Piala Menteri Wilayah itu dapat digandakan kepada empat pasukan.
“Bagi jadual pramusim KL City, kita sedang memastikan supaya kita mempunyai perlawanan Piala Menteri Wilayah untuk 2024.
“Piala itu bakal menjadi persediaan akhir pasukan kita dan paling penting, kita sedang cuba untuk mendapatkan empat slot pasukan yang bertanding.
“Kebiasaannya sebelum ini, Piala Menteri Wilayah hanya ada dua pasukan tetapi kali ini kita mahukan empat pasukan, piala pun sudah ada (bersedia).
“Walaupun persiapan pramusim kami kelihatan agak lewat tetapi saya rasa kita perlukan enam atau tujuh minggu untuk sampai ke tahap ini dan saya yakin persediaan ini akan menjadi agak kukuh buat kami,” ujar Stanley dalam sesi sidang media Jumaat lalu.
Dalam usaha untuk menguatkan lagi pengurusan pasukan tahun 2024, KL City turut menerima kolaborasi bersama beberapa pihak besar untuk membawa sentuhan baharu dalam dunia bola sepak.
Untuk rekod, KL City telah menjuarai dua aksi Piala Menteri Wilayah sebelum ini iaitu pada tahun 2021 dan 2023, manakala Negeri Sembilan pula pernah merasa juara untuk kejohanan tersebut pada tahun 2022.