PIALA Menteri Wilayah Persekutuan kembali jadi milik KL City

Kuala Lumpur City FC mendapat semangat yang baik menjelang sepak mula Liga Super 2023 selepas berjaya merampas semula Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 selepas menewaskan Perak 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Selepas tewas kepada Negeri Sembilan FC pada edisi 2022, piala jemputan itu berjaya ditawan kembali hasil jaringan Herlison Caion dan kapten pasukan, Paulo Josue pada setiap babak perlawanan yang berlangsung dengan menarik.

Pengendali KL City, Bojan Hodak menurunkan kesebelasan terbaik dengan mengekalkan 10 pemain dari musim lalu beserta pemain yang dibawa masuk dari Selangor FC, Caion dan dilihat banyak menguasai permainan sejak dari wisel sepak mula.

 

Caion membuka akaun jaringannya bersama KL City pada minit ke-34 apabila tenang menyempurnakan penalti selepas Romel Morales dijatuhkan pertahanan Perak, Hafizal Alias dalam kotak penalti.

Perak turut berpeluang menyamakan kedudukan pada akhir babak pertama tetapi rembatan Chinonso Obiozor terkena palang gol meskipun penjaga gawang KL City, Kevin Ray Mendoza sudah pun tertewas untuk kedudukan 1-0 kekal mengakhiri babak pertama.

Bersambung sembilan minit babak kedua, Paulo Josue menggandakan kelebihan tuan rumah dengan jaringan kedua selepas menerima umpanan cantik daripada Romel Morales untuk semakin mendekatkan diri untuk menjadi penjaring terbanyak kelab.

Tidak cukup dengan dua jaringan, KL City menggembirakan 7,200 penyokong yang hadir di stadium dengan gol ketiga hasil jaringan pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-74 untuk mematikan semangat para pemain muda Perak.

Perak terpaksa menerima hakikat KL City adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini dan pastinya akan menjadikan aksi persahabatan ini sebagai medan terbaik buat Datuk Lim Teong Kim untuk memperbaiki pasukan.

Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Kuala Lumpur City berjaya membawa pulang piala pertama untuk musim ini dan menjadi tonik terbaik bagi menghadapi Penang FC dalam perlawanan pembukaan Liga Super pada 25 Februari 2023.