ACARA sukan yang semakin mendapat tempat dikalangan rakyat Malaysia, Floorball kini bakal mencari siapakah yang akan muncul juara kebangsaan apabila Kejohanan Piala Merdeka Floorball Kebangsaan 2022 kembali dipertandingkan selepas dua tahun tidak diadakan.

Piala Merdeka edisi kesembilan yang akan berlangsung di Pusat Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dari 12 hingga 16 Oktober 2022 itu akan disertai tujuh pasukan lelaki dan enam pasukan wanita.

Lapan pasukan lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan dengan Kumpulan A bakal menampilkan Pulau Pinang A, Johor, Sabah dan Putrajaya manakala Kumpulan B disertai oleh pasukan Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang B.

 

Kategori wanita juga dibahagikan kepada dua kumpulan dengan Kumpulan X diwakili Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Perak dengan Kumpulan Y menyaksikan Selangor, Johor dan Putrajaya mengambil bahagian.

Sejak diperkenalkan pada 2012, kejohanan tahunan ini menyaksikan pasukan Pulau Pinang muncul sebagai pasukan paling berjaya dengan menyapu bersih kedua-dua kategori sejak 2017.

Namun untuk edisi 2022 ini, skuad Floorball Lelaki Johor telah menggandakan latihan dan meletakkan sasaran untuk muncul juara sekaligus melengkapkan tahun gemilang sukan negeri Johor.

Ketua Jurulatihnya, Mohd Hafidz Zainalabidin yakin dengan kemampuan barisan kendaliannya dan berharap sukan ini dapat memartabatkan Industri sukan di Johor setaraf dengan sukan-sukan yang lain.

Mohd Hafidz Zainalabidin

“Untuk Piala Merdeka tahun ini, kami cuba untuk muncul juara buat kali pertama sejak menyertai kejohanan ini pada 2012. Kami juga mahu menebus kehampaan apabila sekadar menduduki tempat keempat pada edisi 2019 lalu.

“Saya juga berharap menerusi kejohanan ini, kami dapat memartabatkan industri sukan Floorball ini di Johor dan muncul juara setaraf dgn sukan-sukan lain di Johor dengan mentaliti juara,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Walaupun menyedari kekuatan Pulau Pinang dengan mereka juga mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, namun Hafidz percaya kejayaan skuad Johor dalam arena sukan di Malaysia tahun ini bakal menjadi pemangkin semangat buat anak-anak buahnya.

Johor akan memulakan cabaran menentang Pulau Pinang A pada 12 Oktober sebelum behadapan Putrajaya keesokan harinya dan melengkapkan aksi kumpulan menentang Sabah pada Jumaat dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir manakala dua terbawah akan bertanding dalam playoff penentuan tempat kelima hingga kelapan.