PENJAGA gol skuad bawah (B-22) tahun kebangsaan, Rahadiazli Rahalim memohon maaf kepada semua pihak atas dua kesilapan yang dilakukannya ketika mewakili negara dalam Kejohanan Merlion Cup 2023 di Singapura.

Rahadiazli atau mesra dipanggil Abe melakukan dua kesilapan mudah yang menyumbang gol kepada pihak lawan ketika bertemu Kemboja dan Hong Kong dan dia berazam untuk memperbaiki kelemahan dan menjadikannya sebagai pengalaman.

Dia juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap sistem penggiliran penjaga gol yang diamalkan di Terengganu menjadi penyebab dia mudah kehilangan fokus sebaliknya mengakui ianya adalah kesilapan peribadinya.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan tetapi dengan pengalaman ini saya berharap ianya dapat mematangkan saya untuk terus perbaiki kelemahan saya di masa akan datang.

“Tidak ada pemain yang mahu melakukan kesilapan dengan sengaja dan sudah pasti bermain untuk Malaysia, saya akan berikan 100 peratus terbaik buat negara. Ianya satu pengalaman pahit yang sukar ditelan tetapi saya perlu bangkit daripada kekecewaan ini.

“Saya fikir kesilapan individu tidak menjadi punca penggiliran ketika bersama kelab. Saya mempelajari sesuatu ketika bermain di Piala Merlion dan saya faham sentimen penyokong tetapi dalam masa yang sama, ini adalah tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik buat negara dan bangkit demi diri sendiri,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Meskipun melakukan dua kesilapan berprofil tinggi, Rahadi tetap menunjukkan aksi yang baik sepanjang 180 minit permainan dan membantu Malaysia menjulang Piala Merlion sekali gus memberikan semangat tambahan menjelang Temasya Sukan Sea Kemboja pada Mei.