PENGENDALI skuad bawah (B-22) tahun kebangsaan, E. Elavarasan menuntut fokus yang penuh daripada para pemainnya untuk menghadapi Hong Kong pada perlawanan akhir Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Ahad.

Meskipun berjaya menang dan layak ke final, Elavarasan masih merasakan ada ruang yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi pasukan ini sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Sea Kemboja pada Mei.

Dia juga turut memuji barisan pemainnya yang mampu bertahan selama 90 minit meskipun bermain dalam keadaan berpuasa dan beraksi ketika cuaca yang panas.

“Kedua-dua pasukan yang layak ke final sudah tentu mahu menang dan muncul juara. Kita hanya perlu fokus dalam usaha kita dalam aksi final dan ianya pasti menarik kerana skuad senior juga akan berhadapan dengan Hong Kong.

“Walaupun kita sudah mencapai kemenangan dan layak ke final tetapi masih banyak ruang untuk kita perbaiki pasukan ini kerana kejohanan ini adalah sebagai persiapan kita untuk ke Sukan Sea.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Muslim dalam pasukan kerana berpuasa ini adalah cabaran buat mereka dan bukan senang untuk mereka bertahan sepanjang 90 minit,” katanya di Singapura.

Elavarasan juga tidak mahu menuding jari kepada kesilapan individu selepas ada beberapa pemain yang melakukan kesilapan yang membenarkan Kemboja bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas mendahului 2-0.

Kejayaan layak ke final ini pastinya akan memberikan bayangan buat barisan kejurulatihan untuk memilih barisan pemain terbaik untuk di bawa ke Sukan Sea.

Malaysia layak ke final selepas menewaskan Kemboja 4-2 untuk bertemu Hong Kong yang menewaskan tuan rumah, Singapura 1-0 dalam satu lagi aksi kejohanan jemputan empat negara itu.