SKUAD Bawah 22 Tahun Kebangsaan berjaya layak ke final Piala Merlion 2023 selepas mengenepikan kebangkitan Kemboja dengan kemenangan 4-2 dalam aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Jumaat.

Anak-anak buah E. Elavarasan menunjukkan persembahan yang mantap meskipun majoriti daripada mereka berpuasa dan bermain dalam cuaca panas selain semangat ingin menang yang dapat dilihat pada setiap pemain.

Beberapa pemain yang pernah bermain bersama-sama skuad senior Harimau Malaya pada Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang lalu menunjukkan tahap permainan yang baik serta disiplin yang tinggi dalam membantu rakan sepasukan.

Penyerang Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim membuka tirai jaringan selepas 13 minit permainan apabila menolak masuk hantaran lintang Aiman Afif sekaligus menaikkan lagi semangat pemain belia negara ini.

Malaysia menggandakan kedudukan pada minit ke-30 dengan Ruventhiran juga mudah menjaringkan gol selepas menerima umpanan cantik daripada Aliff Izwan dari sebelah kanan gawang Kemboja.

Namun Kemboja tidak patah semangat dan akhirnya berjaya merapatkan jurang selepas penjaga gol Malaysia, Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan hingga memberikan gol pertama Kemboja menerusi jaringan Lim Pisoth untuk separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, Kemboja yang dilatih Keisuke Honda hanya memerlukan lima minit untuk menyamakan kedudukan apabila Sieng Chanthea merembat deras menewaskan Rahadiazli untuk gol penyamaan Kemboja.

Elavarasan melakukan beberapa pertukaran pemain dan taktikal dan akhirnya Malaysia kembali di hadapan pada minit ke-62 menerusi jaringan Fergus Tierney yang baru sahaja dimasukkan selepas aksi menarik kapten pasukan, Azam Azmi Murad yang masuk ke kawasan penalti lawan.

Tidak cukup dengan gol itu, Malaysia menggandakan asakan dan Najmudin Akmal menambah gol keempat negara hasil hantaran Ruventhiran yang mengelirukan penjaga gawang Kemboja.

Kedudukan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan dan Malaysia kini menunggu pemenang antara Singapura dan Hong Kong untuk menentukan siapakah yang bakal diangkat sebagai juara Piala Merlion 2023.