PENGENDALI Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Echeverria Raul mengakui kesilapan pada akhir permainan menjadi pemisah kejuaraan antara pasukannya dan Terengganu FC II dalam aksi final Piala MFL yang mendebarkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Kesilapan pemain pertahanan Aysar Hadi yang gagal menampan kemas hantaran penjaga gol sebelum menemui pemain Terengganu FC II, Isa Raman yang mudah menolak masuk gol kemenangan sekaligus mengecewakan JDT II dari muncul juara sulung liga pembangunan negara itu.
“Pada perlawanan ini kami mempunyai tiga pemain dari skuad utama JDT tetapi ianya adalah tentang aksi 11 lawan 11. Satu kesilapan dan ianya adalah sebahagian daripada permainan tetapi hari ini kesilapan memilih kami.
“Kempen Piala MFL 2023 lebih sukar kerana TFC II bermain dengan pemain yang sama untuk tempoh yang panjang berbanding kami yang sering bertukar-tukar pemain. Ini adalah perlawanan keempat antara kedua-dua pasukan tetapi kesilapan pada saat akhir adalah punca kekalahan kami.
“Saya faham situasi yang dihadapi Aysar kerana saya sendiri adalah bekas pemain pertahanan tengah dan saya faham apabila pertahanan tengah melakukan kesilapan hingga menyebabkan pasukannya tewas kerana kesilapan seperti ini boleh terjadi kepada mana-mana pemain professional,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Meskipun gagal bergelar juara, Echeverria bagaimanapun berpuas hati secara keseluruhan dengan prestasi JDT II musim ini kerana berjaya menghasilkan bakat-bakat muda dan juga menjadi ruang untuk pemain skuad senior mendapat minit kecergasan perlawanan.
“Musim kami untuk pemain muda adalah sangat baik dengan mengambil contoh seperti Gabriel Nistelrooy yang berjaya menjaringkan 14 hingga 15 jaringan termasuk membantu pemain yang kurang minit dengan pasukan utama mendapatkan tahap kecergasan perlawanan dan sudah tentu kami mahu menang perlawanan akhir ini tetapi tidak berjaya,” jelasnya.