PENGENDALI Terengganu FC II, Hairuddin Omar nyata gembira apabila anak-anak buahnya berjaya membalas permintaannya untuk memastikan skuad pembangunan itu muncul juara sulung Piala MFL 2023 apabila menang ke atas Johor Darul Ta’zim II dalam aksi final pada Sabtu.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, gol pada minit-minit akhir perlawanan oleh Isa Raman cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 sekali gus menyaksikan Hairuddin berjaya bergelar juara dalam percubaan pertamanya sebagai ketua jurulatih.

“Pertama sekali terima kasih kepada pemain-pemain saya yang kekal fokus dan bekerja keras hingga hujung perlawanan kerana saya sering katakan pada pemain selagi wisel belum tamat kita masih berpeluang lakukan sesuatu dan syukur dapat jaringkan gol pada minit akhir.

“Kalau lihat ‘line up’ JDT, mereka memang mahukan gol awal tetapi kami juga berjaya mencipta beberapa peluang walaupun pada penghujung babak pertama agak hilang fokus tetapi bangkit pada babak kedua.

“Saya katakan kepada pemain jangan masuk dressing room selagi belum menang dan mereka berjaya membalas permintaan saya dan dapat mencipta kejuaraan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih yang selesa disapa Hai-O itu juga mengakui dia agak gementar sebelum perlawanan namun berjaya mengatasi masalah itu dengan bantuan aksi baik pemain selain sokongan daripada penyokong yang hadir ke stadium.

“Ini satu perasaan yang tidak dapat digambarkan kerana saya pertama kali menjadi ketua jurulatih dan pasukan berjaya ke akhir dan menang. Pada awal permainan saya agak gugup kerana ianya kali pertama tetapi pemain bermain baik dan terima kasih juga buat penyokong Terengganu yang beri suntikan buat para pemain,” jelasnya.

Bekas pemain kebangsaan itu juga berpuas hati dengan prestasi keseluruhan musim ini kerana berjaya muncul juara selain mencapai objektif utama iaitu menyediakan pemain muda untuk diserap masuk ke skuad utama Terengganu FC.

Kejayaan TFC II muncul juara Piala MFL menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan hadiah kemenangan bernilai RM500,000 dan mencipta sejarah sebagai juara sulung liga pembangunan khusus buat pemain bawah umur 23 tahun.