HERO Terengganu FC II, Muhammad Isa Raman menganggap bola yang jatuh tepat ke kakinya dengan keadaan gawang terbuka adalah rezeki buatnya apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan sekaligus membawa pasukannya muncul juara sulung Piala MFL 2023.

Isa berjaya mengambil kesempatan kesilapan pertahanan JDT II untuk merembat masuk gol tunggal yang juga gol kemenangan pada minit ke-88 dan dia mendedikasikan gol itu kepada semua penyokong Terengganu yang sentiasa memberikan sokongan.

Dia juga menjelaskan bahawa arahan jurulatihnya, Hairuddin Omar cukup mudah iaitu memberikan segalanya dalam padang dan cuba membantu pasukan untuk menjaringkan gol.

“Perasaan saya gembira dan tidak jangka dapat jaringkan gol. Saya memang ‘plan’ untuk terus rembat bola itu bila jatuh depan saya dan saya tujukan gol ini pada semua penyokong TFC dan keluarga saya yang hadir.

“Coach cakap masuk dan beri 100 peratus serta suruh bantu pasukan untuk jaringkan gol dan saya bersedia ke skuad utama sekiranya dipanggil,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Walaupun muncul wira pasukan, pemain berusia 23 tahun itu kini masih belum ditawarkan kontrak lanjutan dan sedia untuk mencari pasukan lain untuk meneruskan kariernya musim hadapan.

“Saya masih tunggu jika TFC tawarkan kontrak baharu tetapi jika tidak saya akan cari pasukan lain untuk masa depan saya,” jelasnya.