KAPTEN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Nizarruddin Jazi menyatakan bahawa skuadnya mengambil contoh semangat juang yang dipamerkan oleh skuad utama JDT untuk merampas gelaran juara sulung dalam aksi final Piala MFL yang akan berlangsung pada Sabtu di Cheras.
Menurut pemain berusia 23 tahun itu, walaupun pasukannya sudah ditewaskan oleh Terengganu FC II dalam dua perlawanan sebelum ini namun dia tetap berani untuk memberi tentangan sengit terhadap lawannya dalam pertarungan akhir.
Nizarruddin dalam masa yang sama turut mengakui kelebihan pasukan Terengganu FC II dan akan lebih berwaspada terhadap ancaman yang akan diberikan terutama daripada pemain berbisa seperti Syahmi Zamri.
“Saya sedar Syahmi mempunyai prestasi yang cukup baik dan stabil tetapi kita juga perlu fokus terhadap pemain-pemain lain.
“Walau apapun, saya percaya pasukan saya mampu hasilkan permainan yang baik dan akan memenangi piala untuk perlawanan akhir Piala MFL esok.
“Kenapa pasukan utama boleh mendapat trofi-trofi liga tetapi kami tidak boleh? Jadi oleh itu, kita akan terus buat yang terbaik dan menyambung legasi skuad utama untuk membanggakan rakyat Johor,” ujarnya dalam sesi sidang media.
Sementara itu, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Echeverria Mariano Raul turut bersepakat dengan kapten pasukan bahawa kemenangan-kemenangan JDT menjadi salah satu pendorong yang terbaik untuk skuad JDT II.
“Saya percaya anak-anak buah saya mampu menampilkan aksi terbaik dengan penuh komitmen di atas padang.
“Tambahan, semua berada dalam keadaan yang stabil dan tiada kecederaan yang dialami oleh para pemain saya jadi mereka telah bersiap sedia untuk bermain dalam pertarungan penting, hari esok,” ujarnya.