KELANTAN Darul Naim FC II (KDN FC II) tidak rela tercicir mata apabila bertandang ke Stadium Negeri, Sarawak menentang Kuching City FC pada aksi Piala MFL yang berlangsung petang Rabu.
Ini kerana pasukan bawah 23 tahun Sang Kijang Emas itu mahu mengekalkan rekod cemerlang mereka dalam saingan Piala MFL untuk musim 2024/25.
Pemain pertahanan, Fakhrul Che Ramli menganggap keputusan pada perlawanan terakhir mereka sebelum ini jelas memberi impak besar kepadanya dan rakan sepasukan yang lain untuk memburu kemenangan hari ini.
“Kami bangga dengan keputusan yang diraih ke atas Selangor FC untuk meletakkan kami pada kedudukan sekarang. Apa pun, kami kini fokus pada perlawanan dengan Kuching City kerana tidak rela tercicir mata sekali gus membenarkan pasukan lain memintas kami,” ujarnya dalam satu kenyataan KDN FC.
Jelas Fakhrul, meskipun kelab Borneo itu menunjukkan konsistensi pada dua aksi terakhir mereka, dia tidak mahu rakan sepasukan KDN FC II terlalu menghormati sehingga menjejaskan corak permainan.
“Kuching City sama seperti kelab lain. Mereka boleh menyukarkan kami dan memberi masalah kepada kami. Mereka mempunyai kelincahan, penjaring gol serta kekentalan bila bertahan, kita harus berwaspada atau bakal dikecewakan”, kata Fakhrul.
Pertemuan kedua-dua pasukan menjadi tumpuan utama peminat bola sepak Malaysia setelah KDN FC II serta Kuching City FC berjaya menampilkan persembahan menarik pada musim ini dalam saingan Piala MFL seterusnya meletakkan mereka sebagai pencabar utama kejuaraan.
Untuk rekod, KDN FC II ketika ini berjaya menghuni tangga kedua teratas carta dengan mengumpul 10 mata dari empat perlawanan setelah merekodkan tiga kemenangan dan satu seri.