HASRAT pasukan Penang FC II untuk mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan Piala MFL pada musim ini terkandas lagi apabila pasukan itu tewas ditangan Perak FC II dengan jaringan 2-0 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Selasa.
Dua gol di minit akhir perlawanan yang dijelmakan oleh Akmal Hazim Ismail dan Muhammad Syahmi Shamsudin meranapkan misi pemburuan kemenangan pertama Penang FC II yang setakat ini hanya mengutip satu mata selepas empat perlawanan.
Ketua Jurulatih Penang FC II Manzoor Azwira Abd Wahid dalam temubual berkata, beliau akan membuat perubahan dan akan memperbaiki kelemahan pasukannya yang dilihat masih buntu untuk mendapatkan tiga mata pertama musim ini.
“Saya tidak tahu sebab apa, tetapi kami kehilangan rentak dalam separuh masa yang pertama itu walaupun pada separuh masa kedua kita mengawal permainan,” katanya.
Baginya, walaupun pasukan itu berjaya mengimbangi perlawanan pada separuh masa kedua, namun beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya dimanfaatkan sepenuhnya pasukan pelawat.
“Tapi nak buat bagaimana, kesilapan yang kita lakukan terlalu mudah dan yang paling rugi kita kalah di halaman sendiri dan tidak mendapat tiga mata,” tambahnya.
Bagi pengendali Perak FC II iaitu Chan Wing Hoong pula, kemasukan Muhammad Syahmi Shamsudin dilihat sebagai satu perancangan taktikal yang berkesan memandang pemain itu juga sudah pernah menjaringkan gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Bagi Wing Hoong, Syahmi adalah seorang pemain yang baik dan tajam di depan gol selain kemasukannya dapat membantu pasukan secara efektif untuk mendapatkan jaringan.
“Ini adalah rezeki untuk dia (Syahmi) selain dia sangat efektif dalam membantu pasukan” tambahnya.
Perak FC II kini berada di tangga ke-7 carta liga Piala MFL dengan mengumpul enam mata setakat ini manakala Penang FC II pula berada di kedudukan ke-11 dengan satu mata berjaya dikutip.