PASUKAN Sri Pahang FC meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Piala MFL 2024 dengan menewaskan Kuching City FC 3-0 di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.
Kemenangan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan mereka dalam carta liga, tetapi turut menyerlahkan prestasi luar biasa penyerang berbisa, Lokman Bah Din, yang kini berada di tangga kedua senarai penjaring terbanyak dengan mengumpul lima jaringan.
Airiel Zafran Azrul membuka jaringan pada minit ke-34, diikuti Lokman Bah Din pada minit ke-57, sebelum Nasyrullah Zali melengkapkan kemenangan di minit ke-85.
Dengan kemenangan ini, Sri Pahang kini mengumpul 19 mata, hanya satu mata di belakang kelompok tiga teratas.
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Yazeed Hamzah, yang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya, menyatakan kepuasan terhadap ketajaman pasukan dalam menyudahkan peluang.
“Alhamdulillah, rezeki hari ini. Tiga gol di tempat lawan bukan benda yang mudah, tapi kita berjaya menggunakan peluang yang ada hari ini.
“Cuaca pun mendung, tidak panas, dan itu memberi kelebihan kepada pasukan untuk beri yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.
Dengan kemenangan ini, Sri Pahang berada dalam kedudukan yang baik untuk terus mencabar kelompok teratas. Bagi perlawanan seterusnya, Sri Pahang akan berdepan Pulau Pinang di laman sendiri.
“Kita akan cuba kekalkan momentum kemenangan dan prestasi pasukan. Semua pasukan mempunyai mata yang rapat, jadi kita perlu terus mengejar kedudukan,” tambah Yazeed mengenai perancangan untuk perlawanan seterusnya.
Semnetara itu, kekecewaan Kuching City FC jelas terpancar selepas kekalahan di laman sendiri. Penolong ketua jurulatih, Joseph Kalang Tie, yang menggantikan sementara tugas jurulatih utama, mengakui kelemahan pasukan dan menyedari perlunya melakukan banyak perubahan sebelum pertemuan dengan Terengganu ii minggu hadapan.
“Memang berat untuk terima keputusan ini, tapi kami harus fikir positif dan melangkah ke depan. Banyak yang perlu diperbaiki dan diolah untuk perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.
Kuching City FC hanya mengumpul lima mata selepas sembilan perlawanan dan perlu segera bangkit dari kekalahan ini untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Piala MFL yang semakin mencabar.