SKUAD hoki Bawah 17 kebangsaan, Malaysia Tigers, menamatkan penantian mereka untuk gelaran juara Piala Mirnawan 2024 dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Korea Selatan dalam perlawanan akhir yang sengit di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu petang.
Kejayaan ini menebus kekalahan mereka kepada pasukan yang sama di peringkat kumpulan, menjadikan kemenangan ini lebih manis untuk diingati.
Ketua jurulatih Malaysia Tigers, Izwan Firdaus Ahad Tajuddin, melahirkan rasa bangga dengan prestasi pasukan bimbingannya.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain atas kesungguhan mereka untuk menjuarai kejohanan ini. Saya selalu berpesan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk menang di setiap perlawanan, dan akhirnya mereka berjaya melaksanakannya,” kata Izwan.
Dalam perlawanan pembukaan, Malaysia tewas 1-3 kepada Korea, namun menurut Izwan, kekalahan tersebut membuka ruang untuk mengenal pasti kelemahan lawan.
“Kami belajar daripada kekalahan itu, dan tahu kami perlu mengekang kelajuan permainan Korea.
“Strategi ini berjaya, dan pemain-pemain menunjukkan disiplin yang tinggi untuk mengekang pergerakan lawan.”
Kemenangan ini juga mempamerkan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain Malaysia Tigers. Menurut Izwan, disiplin dan kerja berpasukan adalah faktor utama yang memastikan kejayaan pasukan di pentas akhir.
“Disiplin di dalam padang sangat penting, dan pemain berjaya mengekalkan fokus serta semangat bekerja dalam satu pasukan,” katanya.
Dengan kejayaan sulung ini, Malaysia Tigers kini bersedia untuk menghadapi kejohanan-kejohanan mendatang. Izwan menyatakan pasukan akan terus fokus kepada persediaan pemain dan melaksanakan program pembangunan hoki untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain-pemain muda melalui platform seperti Piala Mirnawan.
“Piala Mirnawan adalah platform yang bagus kerana ia memberi peluang kepada pemain muda untuk merasai perlawanan antarabangsa pada usia awal,” ujarnya.
Kejayaan Malaysia Tigers ini mencipta sejarah apabila mereka akhirnya berjaya menjuarai Piala Mirnawan pada edisi ketiga, setelah sekadar menduduki tempat ketiga pada edisi sebelumnya.
Dengan kemenangan ini, Malaysia Tigers bukan sahaja membanggakan negara, tetapi juga membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas antarabangsa.