LEGENDA hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi terharu apabila namanya digunakan sempena kejohanan antabangsa Piala Mirnawan anjuran Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Mirnawan yang kini bertugas sebagai pengurus skuad hoki lelaki senior kebangsaan, merasakan ia sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.
Justeru, beliau berharap pemain-pemain negara yang akan beraksi bersama pasukan masing-masing menunjukkan kualiti persembahan sepanjang saingan bermula esok hingga 3 Disember ini.
“Sebenarnya ramai lagi pemain-pemain hoki negara yang telah mengharumkan nama Malaysia sebelum ini. Alhamdulillah saya terpilih dan rasa terharu serta bangga atas penghormatan ini.
“Buat pertama kalinya ada pasukan daripada luar negara. Kepada semua pemain, tunjukkan kebolehan anda, semangat kesukanan yang tinggi dan semoga pasukan terbaik memenanginya,” kata Mirnawan.
Kejohanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu menyaksikan lapan penyertaan pasukan lelaki bawah 17 tahun (B17) iaitu SSTMI, SSM Sabah, MSS Perak, NHDP Tigers, Singapura, Jepun dan Sports Odisha (India).
Bagi kategori wanita B14 pula melibatkan tujuh pasukan iaitu Singapura, Sports Odisha (India), SSTMI Girls, NHDP Central, NHDP South, NHDP East dan NHDP North.
Bagaimanapun, Mirnawan tidak dapat turut serta pada majlis pelancaran logo kejohanan itu kerana sedang berada bersama skuad Malaysian Tigers menghadapi Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan.
Saingan yang akan bermula 28 November hingga 4 Disember itu menyaksikan Malaysia selaku ranking tertinggi kejohanan, bakal berentap dengan Korea Selatan, Jepun dan Kanada dalam Kumpulan A.
Kumpulan B pula menyaksikan Afrika Selatan, Perancis, Ireland dan Pakistan dengan juara kejohanan akan ditawarkan slot automatik beraksi pada Liga Pro FIH musim 2023/2024.