PENANTIAN pasukan Brunei Darussalam untuk beraksi di pusingan akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) kini hampir menjadi kenyataan apabila menang selesa dalam perlawanan playoff pertama.
Skuad Tebuan berjaya menewaskan musuh tradisi, Timor Leste 6-2 dalam aksi pertama di Bandar Seri Begawan dan kini mempunyai kelebihan empat gol menjelang aksi timbal balik yang bakal berlangsung pada 8 November 2022.
Negara Kesultanan itu sering kali terkandas di peringkat playoff dan kini dengan skuad yang lebih mantap hasil pembangunan liga tempatan, Brunei dilihat lebih matang dan mempamerkan aksi yang lebih meyakinkan.
Brunei Darussalam defeated Timor Leste to a 6-2 in the first leg of the AMEC 2022 qualifiers today.
Brunei Head Coach Mario Rivera reiterated that the team is here to win, and will continue its best in the second leg of the game – which is scheduled for Tuesday, November 8. pic.twitter.com/XeeY599Z4s
— Football Association of Brunei Darussalam (@bruneifootball) November 5, 2022
Dengan sorakan padu penyokong tuan rumah, barisan Mario Rivera membalas kepercayaan dengan menjaringkan enam gol sekaligus kembali untuk bersaing dalam kejohanan terbesar bola sepak Asia Tenggara yang dijadualkan pada Disember 2022.
Mario Rivera yang ditemui selepas perlawanan sedar 20 minit terakhir perlawanan sangat getir dan gembira kini Brunei semakin hampir mencipta lembaran baharu dalam arena bola sepak.
“Kami sedar bahawa 20 minit terakhir perlawanan sangat penting dan akhirnya kami mendapat dua gol yang kami mahukan. Kini kami semakin hampir untuk layak ke pusingan akhir buat pertama kali sejak 1996,” katanya.
Brunei mendahului 2-1 pada babak pertama hasil dua jaringan Abdul Azizi Rahman sebelum menggandakan kedudukan menjadi 4-2 ketika permainan berbaki 15 minit untuk ditamatkan.
Namun seakan tidak berpuas hati, Brunei menambah dua lagi jaringan pada minit-minit terakhir permainan bagi memastikan kelebihan yang lebih selesa menjelang aksi timbal balik.
Jika berjaya memenangi pusingan playoff ini, Brunei bakal berentap dalam Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bersama-sama Thailand, Indonesia, Kemboja dan Filipina dengan Thailand bakal menjadi lawan pertama pada 20 Disember 2022.