SKUAD kebangsaan Brunei mencipta sejarah apabila berjaya layak ke peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 selepas 26 tahun gagal melakukannya.

Meskipun tewas 0-1 kepada Timor Leste pada aksi kedua peringkat kelayakan, Brunei berjaya melangkah ke pertandingan akhir dengan kemenangan agregat 6-3 selepas menang 6-2 pada perlawanan pertama.

Kejayaan ini meletakkan Skuad Tebuan dalam Kumpulan A bersama-sama Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja dengan perlawanan pertama mereka akan menentang Thailand di Bangkok.

Sebagai rekod, kali terakhir Brunei tampil di Piala AFF adalah pada tahun 1996, tahun pertama kejohanan Asia Tenggara itu diperkenalkan dikenali dengan nama Piala Tiger.

ARTIKEL BERKAITAN: Mitsubishi Electric AFF 2022: Brunei hampiri pusingan akhir buat kali pertama sejak 1996

Ketika itu Brunei yang berada dalam Kumpulan B bersama Thailand, Malaysia, Singapura, dan PC Filipina hanya di tempat keempat dengan tiga mata dari empat perlawanan.

Brunei berjaya menewaskan Filipina 1-0 kemudian tewas kepada Singapura 3-0 sebelum dibelasah Thailand dan Malaysia 6-0 dan sejak itu tidak pernah berjaya layak sehingga 2022.