PASUKAN Brunei Darussalam menyenaraikan 23 pemain untuk menghadapi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Thailand pada perlawanan pembukaan yang bermula 20 Disember 2022 selepas berakhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022
Skuad Tebuan kini sedang menjalani latihan akhir di Kuala Lumpur, Malaysia yang dipilih sebagai gelanggang tuan rumah untuk Brunei pada kejohanan ini kerana kerja pengubahsuaian sedang dilakukan di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah.
Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan menggambarkan penyertaan Brunei di kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara ini sebagai tanda positif hasil kerjasama dari semua pihak yang terlibat.
Dia juga yakin kegagalan untuk beraksi di laman sendiri tidak mematahkan semangat para pemain dan penyokong malah dia menyeru penyokong Brunei di Kuala Lumpur dan venue di tempat lawan untuk sama-sama ke stadium memberikan sokongan.
“Kejayaan pasukan Brunei layak ke Piala AFF sejak sekian lama tidak dapat melakukannya adalah satu keputusan yang sangat membanggakan. Ianya adalah mengenai kerjasama bersama setiap pemain, jurulatih, pegawai, staf dan juga penyokong.
“Ianya sangat mendukacitakan apabila kita tidak dapat bermain di gelanggang sendiri kerana venue sedang dinaikkan taraf.
“Namun ianya tidak seharusnya melunturkan semangat untuk memberikan yang terbaik. Penyokong yang berada di Kuala Lumpur, Manila dan Phnom Penh mari berikan sokongan kepada pasukan kita,” katanya
Presiden FABD itu juga memberikan contoh tentang apa yang terjadi di Qatar dan mahukan para pemainnya menjadikan contoh itu sebagai pembakar semangat mereka ketika turun beraksi.
“Pasukan kami perlu mengambil contoh tentang persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan ‘underdog’ di Piala Dunia dan beraksi tanpa rasa tekanan dan yakin. Saya percaya barisan kejurulatihan akan mengharapkan satu aksi yang terhormat daripada pasukan,” tambahnya.
Sementara itu, pengendali Brunei, Mario Rivera Campesino dilihat lebih optimis tentang persembahan pasukannya apabila turun menentang pasukan lawan berdasarkan beberapa faktor termasuk jadual yang padat.
Dia juga turut senada dengan kenyataan Presiden tentang pasukannya tidak dapat bermain di gelanggang sendiri namun dia yakin para pemainnya akan bermain untuk mencapai kemenangan.
“Seperti apa yang kami lakukan di peringkat kelayakan, kami akan bermain untuk menang meskipun kami berada dalam kumpulan yang sukar dan tahap bola sepak Brunei yang agak jauh jika dibandingkan dengan pencabar yang lain. Sasaran awal kami mahu layak ke kejohanan ini dan kini kami mahukan lebih lagi.
“Bagaimanapun jadual perlawanan memberikan sedikit kegusaran kepada saya kerana pasukan boleh disediakan untuk bermain satu perlawanan namun untuk bermain 4 perlawanan dalam 10 hari, kami jauh lebih bersedia dari yang sepatutnya dilakukan,” jelasnya.
“Sedikit kesal kerana kami tidak dapat bermain di hadapan penyokong sendiri dengan suasana yang menarik namun para pemain akan memberikan yang terbaik bagi memastikan tidak ada pasukan yang dapat mengalahkan Brunei dari segi semangat dan sikap dalam permainan.
“Menang atau kalah apa yang kami akan lakukan adalah memberikan kebanggaan dari warga Brunei kepada para pemain seperti mana yang kami lakukan ketika peringkat kelayakan tempoh hari,” tambahnya lagi yang ditemui di Kuala Lumpur.
Brunei berjaya layak ke peringkat kumpulan Piala AFF sejak 1996 dan diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja dengan menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai gelanggang rasmi menentang Thailand dan Indonesia.