BEBERAPA hari menjelang aksi pembukaan Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong berkata pasukannya perlu memperbaiki transisi permainan mereka jika ingin menjadi pasukan yang lebih kuat.

Pengendali Korea Selatan itu berkata demikian setelah menyaksikan anak-anak buahnya beraksi dalam perlawanan tertutup minggu ini sebagai persediaan buatnya untuk memperbaiki pasukan sebelum berhadapan Kemboja pada 23 Disember 2022 di Stadium Gelora Bung Karno.

“Untuk perlawanan tertutup ini ianya digunakan untuk kami menilai pergerakan pemain sahaja. Kami boleh menjadi pasukan yang lebih kuat jika transisi perlawanan kami lebih laju. Buat masa ini kami masih kurang dalam bahagian ini dan kami akan perbaikinya.

“Bermula minggu lalu, intensiti dalam latihan sangat tinggi. Namun para pemain dapat mengikuti pelan latihan dan mereka juga bersemangat dan bekerja keras. Saya berpuas hati dengan perkembangan para pemain setakat ini,” kata Tae Yong

Skuad Garuda kini giat menjalani latihan di Bali sejak dua minggu lalu sebagai persediaan menghadapi kempen Piala AFF dengan Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Kemboja, Filipina, Brunei Darussalam dan Thailand.

Indonesia bakal bertemu Kemboja dalam perlawanan sulung diikuti bertemu Brunei, Thailand dan Filipina dalam misi mereka mencari kejuaraan sulung dalam kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara ini.