SUSULAN kemenangan yang dipersembahkan skuad Harimau Malaya membenam Myanmar 1-0 malam tadi di Yangon, Datuk K. Rajagobal adalah individu yang paling gembira dengan kemenangan tersebut.

Biarpun hanya mendapatkan satu gol menerusi pemain lincah Muhammad Faisal Abdul Halim yang menjadi pemisah kepada aksi yang jelas dikuasai Myanmar, bekas jurulatih kebangsaan itu tetap optimis Malaysia dan Vietnam adalah pasukan pilihan untuk melepasi halangan peringkat Kumpulan B Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Segala-galanya terpulang kepada Kim Pan Gon yang menerapkan DNA Malaysia dalam memacu pasukan negara mara mengembalikan zaman kegemilangan menduduki ranking terbaik pernah dicatat iaitu ke-75 dunia yang berjaya diraih pada Ogos 1993.

“Kalau pakar pun sudah tentu akan memilih Malaysia dan Vietnam, tetapi sekarang apa-pun boleh jadi seperti kejutan di Piala Dunia Qatar. Saya kira Malaysia memiliki pemain yang bagus dan merupakan pasukan pilihan untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Terpulang kepada jurulatih dengan pengalaman yang mereka miliki, apa kehendak untuk pasukan, apa yang diperlukan untuk pemain menyerlah,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala AFF 2022 : Tiga mata penuh milik Harimau Malaya di Yangon

 

Faisal Halim tersenyum puas membantu Malaysia dengan menjaringkan gol tunggal untuk meraih tiga mata di Yangon.

Dengan langkah kanan yang dijelmakan anak didik Pan-gon dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan, Rajagobal ingin Harimau Malaya terus memberi fokus pada aksi seterusnya menentang Laos, Vietnam dan Singapura.

“Tentulah saya mahukan Malaysia berjaya. Kita tidak mahu membuat keputusan terburu-buru. Fokus kepada setiap perlawanan. Kalau boleh, kita mahu Malaysia layak ke peringkat akhir,” katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin menyifatkan perlawanan pertama yang telah selesai bukanlah aksi yang membanggakan buat pemain negara.

Ujarnya, pasukan kebangsaan kita lebih kepada bernasib baik boleh capai kemenangan di tempat lawan.

Kini, Laos akan menjadi lawan seterusnya menjelang aksi kedua saingan kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.