BADI tanpa kemenangan di Stadium Thuwunna, Yangon sejak 2018 kini terlerai apabila Harimau Malaya berjaya mencipta kejayaan pertama dalam kempen Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Skuad kebangsaan berjaya memperolehi tiga mata penuh dalam perlawanan pertama Kumpulan B selepas menewaskan tuan rumah, Myanmar 1-0 dalam aksi yang cukup mendebarkan hingga penghujung perlawanan.

Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon hanya membuat satu pertukaran dari kesebelasan utama ketika menentang Maldives dengan menggantikan Mukhairi Ajmal dan memberikan Stuart Wilkin peluang mengepalai jentera tengah.

Malaysia bermula agak perlahan sepanjang 45 minit pertama perlawanan dengan bahagian tengah dilihat tidak banyak merencanakan serangan dengan Myanmar lebih banyak menguasai perlawanan namun bernasib baik kerana kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Kim Pan Gon melakukan pertukaran pada permulaan babak kedua dengan memasukkan pemain naturalisasi, Lee Tuck menggantikan Darren Lok untuk membantu menambah sengat barisan serangan untuk memburu gol pendahuluan.

Percaturan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Faisal Halim yang juga gol keenamnya sepanjang 2022 buat Harimau Malaya selepas menerima hantaran baik daripada kapten pasukan, Safawi Rasid pada minit ke-52.

Gol itu bagaimanapun ternyata tidak mematahkan semangat pemain tuan rumah yang mendapat sokongan hampir 2,500 penyokong tempatan apabila melancarkan serangan demi serangan namun Syihan Hazmi cemerlang menafikan percubaan berbahaya lawan.

Beberapa kad kuning terpaksa dilayangkan oleh pengadil dari Jordan kepada pemain Myanmar yang bermain sedikit keras untuk memenangi bola bagi mendapatkan gol penyamaan.

Ketika kemenangan hampir menjadi milik Malaysia, Sharul Nazeem melakukan kesilapan apabila bola terkena tangannya dan pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Myanmar.

Namun Syihan Hazmi (gambar) sekali lagi muncul wira apabila dia cemerlang menepis sepakan Myat Kaung Khant untuk mengekalkan kedudukan 1-0 kepada skuad kebangsaan pada minit ke-90.

Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat dan Malaysia berjaya memadam badi Yangon dan membawa pulang tiga mata penuh sekaligus membuka peluang layak ke peringkat separuh akhir.

Harimau Malaya akan meneruskan perjuangan dalam Piala AFF menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu dengan tiga mata sekali lagi menjadi rebutan di hadapan penyokong sendiri manakala Myanmar akan bertemu Singapura di Stadium Jalan Besar.