KECEDERAAN dialami tujuh pemain utama menjadi punca Speedy Tiger terpaksa berpuas hati menamatkan saingan Piala Negara-Negara FIH, di kedudukan keempat.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga-keempat di University of North West di Potchefstroom, Afrika Selatan sebentar tadi, skuad negara tewas 0-4 kepada Korea Selatan.
Empat nama berbeza mengukir mencatat nama sebagai penjaring ketika berdepan “Rimau Tempang” bermula dengan jaringan Seo Inwoo, Lee Namyong, Hwang Taeil dan Jang Jonghyun, mereka bagaikan berpesta.
Menurut ketua jurulatih A Arulselvaraj, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain.
“Ramai sangat pemain cedera, menyusahkan pasukan bergerak ke depan, selain menyukarkan kita membuat pertukaran pemain.
“Secara keseluruhannya, bagus untuk pemain lain mendapat minit permainan di pentas kejohanan yang tinggi,” kata Arul.
Skuad kebangsaan hadir ke Afrika selatan dengan sasaran mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH.
Mereka mencapai sasaran itu dengan menduduki tangga kedua kumpulan B di belakang Korea Selatan, dengan satu kekalahan dan dua kemenangan, sebelum tewas kepada Ireland di separuh akhir, semalam.