SPEEDY Tiger sudah lakukan apa yang terdaya, malah sudah mencapai sasaran melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH, yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan.
Pada separuh akhir menentang Ireland sebentar tadi, skuad kendalian A Arulselvaraj bermain cemerlang, cuma gagal menjaringkan gol, berbanding Ireland bijak menggunakan setiap peluang yang terhidang.
Mungkin kesilapan utama skuad negara di University of North West itu, adalah melepaskan dua gol pantas dalam tempoh dua minit di suku ketiga.
Dua gol itu dijaringkan Benjamin Walker dan Jeremy Duncan pada minit ke-41 serta 43 sebelum Duncan meledak gol ketiga Ireland ketika aksi berbaki lapan lagi untuk tamat.
Kekalahan itu dijangka tidak menjejaskan moral dan motivasi para pemain yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak awal bulan ini.
Begitupun, skuad bimbingan Arul Selvaraj berpeluang menebus kehampaan dengan memburu tempat ketiga dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat malam esok.
“Memang kecewa kalah 3-0 ketika kita menguasai permainan dengan mendapat banyak pukulan sudut penalti, tetapi tak dapat menjaringkannya, semuanya salah kita sendiri.
“Sebenarnya Hafizuddin (penjaga gol) banyak menyelamatkan kita kerana mungkin kita tewas dengan lima atau enam gol, saya kecewa dengan barisan belakang yang lemah dari segi kawalan bola dan kita tidak bermain corak permainan sendiri,” kata Arul.
Begitupun, beliau berharap pemain tidak kecewa terlalu lama dan menampilkan karektor sebenar pada penentuan tempat ketiga dan keempat.
“Esok penentuan ketiga, keempat, sekurang-kurangnya kita ambil pingat,” kata Arul lagi.
Cuma kekalahan ini menyebabkan skuad kebangsaan terlepas peluang untuk mendapatkan slot layak ke Pro League FIH, dan akan berterusan ketandusan perlawanan antarabangsa berintensiti tinggi.