HUJAN yang membasahi Stadium Temerloh seakan-akan memberi tuah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim III (JDT III) apabila muncul juara Piala Presiden setelah menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dan 4-2 secara aggregat

Gol jaringan penyerang Syukur Fariz Januri pada minit ke-45 dan Najmuddin Akmal tiga minit sebelum tamat memberikan kejuaraan sulung kepada skuad Javier Jorda sejak Akademi JDT ditubuhkan pada 2015.

JDT III yang dibarisi beberapa pemain B19 tahun kebangsaan berjaya menyerap segala tekanan dan sabar dalam mengatur serangan dibantu pengalaman yang ada pada mereka.

 

Sri Pahang yang mempunyai kelebihan gol di tempat lawan dan bermain di hadapan lebih 4,000 penyokong sendiri nyata gagal mempamerkan aksi mantap dan terpaksa akur dengan kekalahan ini.

Kekalahan ini juga menyaksikan skuad Piala Presiden Sri Pahang gagal mengubati kekecewaan skuad Piala Belia yang juga tewas di final kepada Selangor di venue yang sama.

Tambah malang apabila Sri Pahang terpaksa bermain 10 pemain pada penghujung permainan selepas pemain tengah Iman Syakir Azman dilayangkan kad merah kerana kekasaran.

Kemenangan ini pula menyaksikan satu lagi piala domestik menjadi milik Johor Darul Ta’zim dari skuad senior hingga ke skuad akademi.