SELEPAS berakhir tiga perlawanan, Johor Darul Ta’zim III dan Selangor dilihat menguasai kedua-dua kumpulan dengan Harimau Selatan berjaya meraih sembilan mata maksimum dalam kejohanan Piala Presiden 2024.
JDT III bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah tetapi mereka juga masih tidak dibolosi dan berjaya menjaringkan 13 gol dengan dua penyerangnya menguasai tangga teratas senarai penjaring terbanyak.
Dalam tiga perlawanan, Harimau Selatan membelasah Kuala Lumpur City 6-0, Melaka 3-0 dan Sabah 4-0 untuk unggul di takhta Kumpulan A dengan sembilan mata dan 13 perbezaan jaringan mengatasi Terengganu FC III di tangga kedua.
https://www.instagram.com/p/C6yZcpoSy_k/?igsh=dGU2d2t6OWZmZHZq
Abdul Raziq Abdul Rahman dan Muhammad Naim Zainuddin membuktikan ketajaman di depan gawang dengan masing-masing sudah meledak lima dan empat gol dari 13 jaringan yang berjaya dikumpul setakat ini.
Dalam aksi Kumpulan B pula, skuad muda Selangor mengungguli carta liga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri namun dibezakan dengan perbezaan jaringan mengatasi Negeri Sembilan.
Selangor bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan PDRM FC 3-0 sebelum diikat Negeri Sembilan 2-2 dan kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Penang FC III 0-1 di tempat lawan.
Dari jumlah enam gol yang dihasilkan, Izzat Muhammad Syahir menjaringkan tiga gol sekaligus meletakkannya di tangga ketiga senarai penjaring terbanyak di belakang dua penyerang JDT III.
JDT III akan bertemu skuad AMD di Gambang manakala Selangor akan meneruskan saingan Piala Presiden bertemu Kelantan Darul Naim di UM Arena pada 15 Mei 2024.