KEHANGATAN Piala Raja Thailand (King’s Cup) semakin dirasai apabila empat pasukan pastinya ingin memanfaatkan sebaiknya peluang beraksi menentang pasukan yang berkualiti.

Ia merupakan persiapan terbaik buat anak buah Kim Pan-gon bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 serta medan persiapan terbaik sebelum bertemu pasukan gergasi di Piala Asia.

Skuad Harimau Malaya melakukan sesi latihan ringan di hotel penginapan pasukan di Chiang Mai, Thailand pada sesi tengah hari sebelum turun menjalani latihan penuh di padang, petang Selasa.

Rata-rata pemain dilihat begitu bersemangat menjalani latihan bersama rakan sepasukan. Berbekalkan semangat waja, ianya bukanlah mustahil bagi Malaysia melakukan kejutan meskipun berada pada ranking yang lebih rendah dari ketiga-tiga pasukan tersebut.

Malaysia sebelum ini muncul juara dalam saingan Piala Raja Thai dalam empat edisi iaitu pada 1972, 1976, 1977 dan kali terakhir melakukannya pada edisi 1978.

Skuad negara bakal berdepan dengan pasukan tuan rumah Thailand Khamis ini dalam perlawanan kalah mati, manakala dua lagi pasukan Trinidad and Tobago bakal bertemu Tajikistan.

Pemenang kedua-dua perlawanan akan terus ke final menakala dua pasukan tewas akan merebut kedudukan ketiga dan keempat.