IMPIAN meroboh keegoan Thailand di laman mereka berakhir dengan kegagalan apabila skuad sepak takraw negara, tewas 0-2 kepada pasukan Gajah Perang itu di final berpasukan Piala Raja Thai 2024.

Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati untuk muncul selaku pasukan kedua terbaik dalam kejohanan dan memanjangkan lagi kemarau 36 tahun untuk memenangi acara regu berpasukan, selepas kali terakhir melakukannya pada 1988.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, skuad Thailand berada di kelas tersendiri menguasai saingan, namun dua regu negara tetap memberi tentangan yang baik.

Pada perlawanan melibatkan regu pertama, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun membariskan Muhammad Haziq Hairul Nizam selaku tekong utama, Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) untuk memburu kemenangan pertama dan ia seakan-akan hampir menjadi apabila mereka menang mudah 15-4 di set pertama.

Namun, kemenangan itu bagaikan harapan palsu apabila regu lawan bangkit dengan kemenangan 15-3.

Di set ketiga, kedua-dua pasukan dilihat lebih baik dari segi servis dan rejaman tetapi pertahanan serta serangan dari Thailand lebih tajam untuk tuan rumah meraih mata pertama menerusi kemenangan 15-11.

Regu kedua menggalas misi wajib menang untuk membawa ke perlawanan ketiga, bagi menghidupkan sisa peluang menewaskan Thailand.

Akan tetapi, regu kedua yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Shahalril Aiman Halim (apit kanan) agar sukar menewaskan lawan mereka itu dan terpaksa akur menerima kekalahan 13-15, 9-15  bagi memberi kemenangan kepada tuan rumah untuk memastikan piala utama itu terus kekal di bumi Thailand.

Terdahulu, skuad sepak takraw negara tidak berdepan masalah muncul juara acara regu lelaki Piala Raja Thai 2024 yang  yang diwakili Haziq, Azlan dan Farhan untuk mencatat kemenangan ke atas India, 2-0, Singapura (2-0),  Brunei (2-1) dan China (2-0) dalam perlawanan terakhir secara ’round robin’.