SKUAD sepak takraw lelaki negara, berpeluang membalas dendam dek kekalahan kepada Thailand dalam acara regu berpasukan di Piala Dunia Mei lalu, apabila menempah pertemuan dengan tuan rumah dalam acara sama di Kejohanan Piala Raja Thai 2024.

Kemenangan 2-0 ke atas Korea Selatan itu, cukup untuk pasukan takraw negara mengesahkan tempat ke final.

Begitupun, anak didik Ahmad Jais Baharun tidak diberi laluan mudah oleh Korea Selatan apabila dipaksa bekerja keras di separuh akhir.

Biarpun membariskan regu terkuat Muhammad Haziq Hairul Nizam selaku tekong utama, Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) pada perlawanan pertama, regu negara dipaksa bermain rubber set sebelum mengesahkan kemenangan 16-17, 15-8, 15-10.

Regu kedua yang dibarisi Syahmi Hussin (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Shahalril Aiman Halim (apit kanan) meneruskan momentum kemenangan itu namun diberi tentangan sengit sebelum memastikan Malaysia menang perlawanan kedua, 2-0.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan tidak berselindung menyatakan kesyukurannya, apabila pasukan negara ke perlawanan akhir dan akan bertemu musuh tradisi, Thailand.

“Alhamdulillah Malaysia ke Final esok acara berpasukan ‘Kings Cup ISTAF World’ Sepaktakraw Championship Korat, Thailand setelah menewaskan Korea Selatan 2-0 di separuh akhir.

“Final Malaysia menentang Thailand esok jam 2.00 petang (waktu Malaysia). Musuh tradisi sekian lama,” katanya, di media sosial rasminya.

Untuk rekod, Malaysia masih gagal mencatat kemenangan dalam acara berkenaan sejak 35 tahun lalu dan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di pentas akhir adalah di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 itu juga menyaksikan keputusan memihak kepada lawan.

Sebelum ini dalam kejohanan sama, skuad sepak takraw negara tidak berdepan masalah muncul juara acara regu lelaki, selepas mengalahkan India, 2-0 dalam perlawanan terakhir secara ’round robin’ di Nakhon Ratchasima, Thailand, Isnin lalu.