TEKONG terbaik negara, Muhammad Syahir Rosdi dan perejam sepak takraw, Baihakki Aripin sah tersisih daripada skuad utama ke Piala Raja Thai 2024 akibat kecederaan serius yang menimpa mereka sekali gus memberi peluang kepada pemain muda yang akan beraksi pada bulan hadapan.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun memaklumkan bahawa kedua-dua tonggak utama itu sedang menjalani fasa pemulihan akibat kecederaan harmstring (Syahir) dan ankle (Baihakki), serta terpaksa melupakan khidmat mereka buat seketika.

Namun begitu, Ahmad Jais meletakkan kepercayaan penuh terhadap 12 pemain yang akan dibawa ke kempen Piala Raja Thai termasuk dua pemain gantian yang perlu memanfaatkan peluang terbaiknya dalam beraksi di persada antarabangsa.

Skuad sepaktakraw negara ketika kempen Piala Dunia Sepaktakraw 2024.

Jurulatih tersebut masih memandang ke sudut positif mengenai sasaran utama pingat emas dalam acara regu meskipun terpaksa akui bahawa terdapat jurang perbezaan antara pemain gantian dan pemain utama (Syahir dan Baihakki).

“Persiapan kita berjalan baik walaupun tanpa kehadiran pemain utama kita. Jadi ini platform terbaik buat pemain muda yang kita bagi peluang untuk ganti tempat dua pemain dan mereka harus tampilkan prestasi terbaik mereka di kempen Piala Raja Thai nanti.

“Walaupun secara peribadi saya lihat memang ada sedikit jurang perbezaan antara kedua-dua pemain utama dan pemain gantian, tapi saya percaya ini platform terbaik untuk mereka mempersiapkan diri untuk ke kejohanan lain nanti.

Syahir Rosdi beraksi dengan cemerlang sebagai tekong utama negara.

“Kita juga kena sedar Syahir Rosdi dari segi prestasi dan usia semakin meningkat, jadi kita perlu siapkan pelapis dia untuk ambil tempatnya suatu hari nanti sekali gus melengkapkan persediaan menjelang Sukan SEA Thailand, 2025,” ujar Ahmad Jais ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Oleh itu, senarai 12 nama pemain sepaktakraw negara yang akan beraksi di kempen Piala Raja Thai September depan akan diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan (dijangka pada petang ini).

Menurut Ahmad Jais, kenyataan rasmi sahaja yang belum dikeluarkan, namun kesemua para pemain sudah diberitahu awal mengenai peranan dan tugasan masing-masing menjelang kejohanan yang akan bermula beberapa hari lagi.